Skip to Content

Bayan Terakhir

Hadrat Al-'Allamah asy-Syaikh Muhammad Yusuf ibn Muhammad Ilyas al-Kandahlawi rah.a.
November 21, 2025 by
Bayan Terakhir
Perasaan Umat
Perasaan Ummat – Hadratji Maulana Yusof

Kandungan

    Hadratji Maulana Yusof

    PERASAAN UMMAT

    العلامة الشيخ محمد يوسف الكاندهلوي رحمه الله

    Hadrat Al-'Allamah asy-Syaikh Muhammad Yusof ibn Muhammad Ilyas al-Kandahlawi rah.a.

    Taqrir terakhir Hadrat Maulana: Bayan selepas solat Subuh di Raiwind, Lahore

    26 Zulqa'dah 1384H (30 Mac 1965) - Tiga hari sebelum wafat

    Pengenalan

    Konteks Penting: Ini adalah ceramah terakhir Hadrat Al-'Allamah asy-Syaikh Muhammad Yusof ibn Muhammad Ilyas al-Kandahlawi rah.a. yang disampaikan tiga hari sebelum Hadrati meninggal dunia. Walaupun tidak sihat sepanjang malam dan tidak dapat tidur, Hadrati tetap menyampaikan ceramah ini kerana kepentingannya yang amat besar.

    "Tengoklah, saya ini tidak berapa sihat. Sepanjang malam saya terpaksa berjaga kerana tidak boleh tidur. Namun demikian saya bercakap sebab perkara ini adalah amat penting.

    Sesiapa yang memahaminya dan mengamalkannya maka Allah Taala akan meninggikannya dan memberinya kejayaan. Jika tidak, maka dia akan melumpuhkan kakinya sendiri."

    Pembentukan Ummat oleh Rasulullah ﷺ

    Ummat ini telah dibentuk dengan penuh susah payah. Untuk menjadikan ummat ini, Baginda ﷺ dan Sahabat-sahabat رضي الله عنهم telah banyak berusaha dan menahan penderitaan.

    Musuh-musuh Islam yakni Yahudi dan Nasrani telah sentiasa berusaha supaya orang-orang Islam tidak berkekalan sebagai satu Ummat, bahkan berpecah-belah.

    Hari ini orang-orang Islam sudah kehilangan sifat ummat. Ketika dahulu, semasa mereka hidup sebagai satu ummat, hanya dengan bilangan mereka beratus ribu orang sudah cukup untuk menguasai satu dunia. Mereka, pada masa itu tidak mempunyai walaupun sebuah rumah dari batu bata. Masjid pun tidak dibina dengan batu bata. Lampu pun tidak dinyalakan di dalam masjid. Lampu telah dinyalakan di dalam masjid Nabawi hanya selepas 9 tahun sesudah Hijrah.

    Fakta Sejarah: Tamim Dari رضي الله عنه adalah orang pertama yang menyalakan lampu di Masjid Nabawi setelah memeluk Islam pada tahun 9 Hijrah. Pada masa itu, cahaya hidayat Rasulullah ﷺ sudah tersebar ke seluruh tanah Arab dan sekitarnya.

    Definisi Ummat yang Sebenar

    Manusia dari pelbagai kaum, yang bercakap dalam berbagai-bagai bahasa dan dari berbagai-bagai khabilah telah menjadi satu ummat yang bersatu-padu. Apabila kesemua perkara telah diselesaikan, maka barulah lampu telah bernyala di dalam masjid Nabawi. Tetapi cahaya dari lampu hidayat yang telah dibawa oleh Baginda s.a.w. sudah tersebar ke seluruh tanah Arab, bahkan ke kawasan-kawasan yang luar daripadanya juga. Ummat sudah dibentuk. Selepas itu ummat ini telah bangun dan ke mana sahaja mereka tuju, maka negara demi negara telah jatuh di bawah kaki mereka.

    Ummat ini telah dibentuk secara begini: iaitu tidak seorang pun di kalangan ummat ini menjadi pembantu kepada keluarganya, bangsanya, saudara-maranya, partinya, kaumnya, tanahnya; tidak seorang pun yang menjadikan tujuannya mengawasi harta-benda atau anak-isteri; tetapi setiap seorang di kalangan mereka hanya melihat apakah kehendak Allah dan RasulNya.

    Ummat telah menjadi ummat yang sebenar hanya apabila setiap orang di kalangan mereka sanggup memutuskan kesemua bentuk perhubungan yang berlawanan dengan perintah Allah dan RasulNya.

    قَتَلْنَا سَيِّدَ الْخَزْرَجِ سَعْدَ بْنَ عُبَادَةَ رَمَيْنَاهُ بِسَهُم فَلَمْ يُخْطِ فُؤَادَهُ

    Yakni, kami telah membunuh ketua kaum Khazraj Saad bin Ubadah r.ahu. Kami telah menjadikannya sasaran anak-panah yang telah memasuki hatinya.

    Daripada peristiwa ini didapati suatu contoh dan pelajaran bahawa walau pun seseorang itu mempunyai serba-serbi kebaikan, tetapi jika dia menyebabkan perpecahan ummat maka Allah Taala tetap akan menghancurkannya. Ummat akan menjadi ummat yang sebenar apabila setiap individu dan golongan di kalangan ummat ini tanpa membeza-bezakan memegang usaha yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w. Dan ingatlah bahawa perkara yang memusnahkan perasaan ummat adalah keburukan di segi muamalat dan mu'asyarat. Apabila satu individu atau satu golongan di kalangan ummat ini menzalimi dan tidak berbuat adil dengan yang lain, tidak menunaikan hak-haknya, menyakitinya, memperkecilkannya atau menghinakannya maka timbullah perpecahan dan perasaan ummat akan hancur. Sebab inilah saya berkata bahawa ummat tidak dapat dibentuk dengan hanya kalimah dan tasbih. Ummat akan menjadi ummat yang sebenar melalui pengislahan muamalat dan mu'asyarat, tunaikan hak-hak kesemua pihak dan ikram kepada sekalian; bahkan ummat ini akan dibentuk apabila demi untuk menunaikan hak-hak orang-orang lain, hak-hak sendiri dikorbankan. Baginda s.a.w., Hadrat Abu Bakar Sidek RA dan Hadrat Umar RA. telah membentukkan ummat ini melalui pengorbanan Di zaman Hadrat Umar RA. suatu ketika telah datang berjuta-juta wang-ringgit dan mesyuarat telah diadakan untuk membahagi-bahagikannya. Pada masa ummat sudah dibentuk, yang bermesyuarat itu bukanlah daripada suatu daerah atau pun suatu kaum atau khabilah sahaja bahkan manusia daripada pelbagai kaum, khabilah dan daerah berada dalam syura tersebut yang terkenal sebagai orang-orang khas di segi persahabatan dengan Rasulullah s.a.w. Melalui mesyuarat mereka dengan sepenuh perhatian telah membuat keputusan bahawa dalam pembahagian ini yang paling banyak akan diberikan kepada khabilah Rasulullah s.a.w., kemudian kepada ahli khabilah Hadrat Abu Bakar RA dan lepas itu khabilah Hadrat Umar RA. Maka dengan keputusan ini saudara-mara Hadrat Umar RA. telah mendapat kedudukan yang ketiga. Apabila keputusan ini dikemukakan kepada Hadrat Umar RA. Hadrati TIDAK meluluskan keputusan tersebut dan telah berkata: "Apa juga yang diperolehi dan akan diperolehi oleh ummat ini adalah kerana Rasulullah s.a.w. semata-mata. Jadi, dalam pembahagian harta, kita akan mempertimbangkan hanya perkaitan hubungan dengan Rasulullah s.a.w. sahaja. Khabilah yang paling terdekat dengan Baginda akan mendapat bahagian yang paling besar, kemudian yang kedua, ketiga, keempat, dan seterusnya." Jadi, bahagian yang terbanyak telah diberikan kepada Bani Hasyim, kemudian Bani Abd Manaf, anak-anak Qasa, Kalab, Kaab, Marrah dan seterusnya. Mengikut tertib ini khabilah Hadrat Umar r.ahu. sangat jauh terbelakang dan bahagian yang diperolehi oleh mereka adalah terlalu sedikit. Tetapi Hadrat Umar rahu. telah membuat keputusan ini. Hadrati sendiri telah membelakangkan khabilahnya sendiri dalam pembahagian harta. Dengan cara beginilah telah dibentuk ummat ini! Untuk membentukkan ummat, apa yang mustahak ialah semua orang perlu mencuba supaya kesatuan berkekalan di kalangan ummat dan supaya tidak timbul perpecahan. Mafhum satu hadith Rasulullah s.a.w.: Pada hari kiamat seorang akan dibawa kepada Allah untuk pembalasan. Semasa hidup di dunia, orang itu telah mendirikan solah, berpuasa, mengerjakan haji, bertabligh dan lain-lain amalan yang baik. Tetapi, dia akan diberi penyeksaan sebab, satu perkataannya telah menimbulkan perpecahan di kalangan ummat. la akan dihukum, 'rasailah penyeksaan untuk satu perkataan itu yang telah mendatangkan kerugian kepada ummat. Seorang lagi yang dihadapkan mempunyai kekurangan dari segi solah, puasa, haji dan lain-lainnya dan dia takut akan azab Allah s.w.t. Tetapi, dia akan diberikan banyak pahala dan balasan baik sehingga dengan penuh kehairanan, dia sendiri akan bertanya, 'untuk amalan saya yang mana satu, saya dimuliakan begini?" la akan diberitahu, 'Pada masa dan keadaan sekian sekian itu engkau telah mengucapkan satu perkataan yang telah menghentikan satu pergaduhan di kalangan ummat yang di tahap perpecahan dan pada ketika perpecahan ini, ummat telah kembali bersatu padu. Kesemua ini adalah pahala dan balasan hanya untuk perkataanmu itu. Di dalam membentukkan ummat dan juga dalam merosakkan ummat, dalam perpaduan ummat dan juga perpecahan ummat, peranan yang besar telah dimainkan oleh lidah. Lidah boleh menyenangkan hati dan boleh juga ia memecahkan hati. Cukup dengan satu perkataan salah yang keluar daripada lidah, maka ia menyebabkan pengunaan tongkat dan pergaduhan dan peperangan yang sempurna telah dibentuk. Dan juga dengan satu perkataan sahaja boleh mendatangkan perdamaian dan perpaduan; ia boleh menyatukan hati-hati yang sudah terpecah-belah. Oleh itu, perkara yang paling penting adalah lidah (percakapan) mesti ditekan (supaya tidak disalahguna). Perkara ini hanya akan tercapai apabila sentiasa ada perasaan bahawa Allah ada bersama di setiap tempat pada setiap keadaan dan juga Dia mendengar setiap perkataan. Di Madinah, pada zaman itu, ada dua khabilah Ansar---Aus dan Khazraj. Di antaranya terjadi pergaduhan dan peperangan sejak beratus-ratus tahun. Apabila Baginda s.a.w. berhijrah dan sampai ke Madinah, orang-orang Ansar telah dikurniakan Allah dengan Islam. Maka dengan berkat Baginda s.a.w. dan Islam, peperangan itu telah terhenti dan Aus dan Khazraj telah hidup dengan aman dan damai. Melihat keadaan itu orang-orang Yahudi telah membuat satu perancangan yang jahat supaya mereka bergaduh dan berperang semula. Di dalam suatu majlis yang mana orang-orang daripada kedua-dua khabilah hadir, salah seorang, mengikut perancangan, telah menyalakan api (menegangkan keadaan) dengan membaca satu syair mengenai peperangan mereka yang lama. Pada mulanya mereka bertikam lidah di antara satu sama lain dan akhirnya senjata telah dikeluarkan oleh kedua-dua pihak. Salah seorang telah pergi memberitahu kepada Baginda s.a.w. Baginda dengan serta merta telah datang lalu bersabda, "Kamu hendak berperang sesama sendiri sedangkan saya masih berada di kalangan kamu!" Baginda telah berkhutbah dengan ringkas tetapi penuh dengan semangat dan perasaan susah hati. Kedua-dua pihak telah memahami kesilapan sendiri. Mereka telah sedar bahawa syaitan telah memerangkap mereka dengan rancangan jahat. Kedua-dua pihak telah menangis, memeluk satu dengan yang lain. Ayat suci yang berikut telah diturunkan oleh Allah s.w.t..
    ﴿ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ﴾ [ آل عمران: 102].

    Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa, dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan kamu berserah diri (muslim)

    Jadi, apabila manusia sentiasa ingat pada Allah, takut kepada kemurkaan dan penyeksaanNya dan sentiasa mentaatiNya, maka syaitan pun tidak dapat menyesatkannya. Dan juga ummat akan terselamat daripada kesemua pergaduhan dan keburukan.
    ﴿وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا ۚ وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُمْ بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا ۚ وَكُنتُمْ عَلَىٰ شَفَا حُفْرَةٍ مِنَ النَّارِ فَأَنْقَذَكُمْ مِنْهَا ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ.﴾ [ آل عمران: 3].

    Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu berpecah-belah. Dan ingatlah akan nikmat Allah ke atas kamu ketika dahulu kamu saling bermusuhan, lalu Allah menyatukan hati-hati kamu; maka dengan nikmat-Nya kamu menjadi saudara. Dan dahulu kamu berada di tepi jurang api neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat-Nya, agar kamu mendapat petunjuk.

    Dan peganglah kamu sekalian secara berjemaah akan tali Allah yakni, Kitab Allah dan agamaNya dengan teguh; yakni dengan sifat IJTIMAIAT yang sempurna dan serta sifat perasaan ummat peganglah tali agama dan berpautlah kepadanya. Jangan menjadi berpecah belah atas perkauman atau kedaerahan atau dari segi bahasa. Dan janganlah melupakan ihsan Allah yang mana Allah Taala telah menghapuskan permusuhan yang telah berkekalan sesama sendiri di kalangan kamu dan telah menyatukan hati-hati kamu dan telah menjadikan kamu saudara satu sama lain. Semasa kamu berperang sesama sendiri kamu sebenarnya telah menghampiri neraka sehingga kamu telah hampir jatuh ke dalamnya; Allah Taala telah memegang kamu dan telah menyelamatkan kamu dari neraka. Syaitan memang ada bersama kamu. Penyelesaian masalah ini adalah di kalangan kamu. Kamu harus berada di dalam satu rombongan yang tugasnya hanyalah untuk menyuruh kepada kebaikan dan mencegah daripada setiap keburukan dan fasad.
    ﴿ وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ﴾ [ آل عمران: 104]

    Dan hendaklah ada antara kamu satu golongan yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh berbuat yang makruf dan melarang daripada kemungkaran; dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.

    Di kalangan ummat harus ada satu rombongan yang tugasnya patut menyuruh manusia kepada agama dan segala jenis kebaikan; mereka harus meneruskan usaha untuk Iman, untuk kebaikan dan kebajikan, mereka perlu usaha atas solah, atas zikir atas ilmu yang telah dibawa oleh Baginda s.a.w., mereka perlu juga usaha untuk menyelamatkan manusia daripada keburukan dan segala jenis maksiat. Melalui usaha sedemikian rupa ummat akan berkekalan sebagai ummat yang bersatu padu.
    ﴿ وَلَا تَكُونُوا كَالَّذِينَ تَفَرَّقُوا وَاخْتَلَفُوا مِن بَعْدِ مَا جَاءَهُمُ الْبَيِّنَاتُ ۚ وَأُولَٰئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ﴾ [ آل عمران: 105]

    Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang bercerai-berai dan berselisihan setelah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas; dan mereka itulah orang-orang yang akan mendapat azab yang besar.

    Sesiapa yang selepas juga kesemua nasihat-nasihat ini akan mengikut jalan syaitan, berjalan-jalan secara berasingan, menimbulkan perlawanan dan merosakkan perasaan perpaduan ummat maka bagi merekalah ada siksa yang keras. Kesemua pengajaran dan perkara-perkara dalam agama mempunyai JORD (persatuan) dan juga untuk persatuan dan perpaduan. Di dalam solah ada jord; di dalam puasa ada jord. Di dalam haji ada jord bagi pelbagai kaum dan negara dan manusia yang bercakap berbagai-bagai bahasa. Di dalam 'halqah (majlis) taalim ada jord. Ikram (muliakan) orang-orang Islam dan mencintai orang-orang Islam, memberi dan menerima hadiah antara satu sama lain, kesemua ini adalah yang mendatangkan kesatuan dan yang membawa kepada syurga. Mereka yang buat usaha untuk kesemua amalan ini akan didapati pada hari hisab muka mereka berseri-seri. Dan sebaliknya, benci, hasad, dengki, mengumpat, menghasut, menghinakan orang, mengecilkan orang dan menyakiti hati orang kesemua ini adalah amalan yang menyebabkan perpecahan dan membawa ke neraka. Mereka yang beramal dengan sebegitu rupa akan dihinakan pada hari hisab.
    ﴿ ويَوْمَ تَبْيَضُ وُجُوهٌ وَتَسْوَدُّ وُجُوهٌ فَأَمَّا الَّذِينَ اسْوَدَّتْ وُجُوهُهُمْ أَكَفَرْتُمْ بَعْدَ إِيْمَانِكُمْ فَذُوقُوا الْعَذَابَ بِمَا كُنتُمْ تَكْفُرُوْنَ (١٠٦ ) . وَأَمَّا الَّذِينَ ابْيَضَّتْ وُجُوهُهُمْ فَفِي رَحْمَةِ اللَّهِ هُمْ فِيْهَا خُلِدُوْنَ (۱۰۷) .﴾ [ آل عمران: 106-107]

    Ayat 106 "Pada hari itu ada wajah-wajah yang menjadi putih berseri, dan ada wajah-wajah yang menjadi hitam muram. Maka orang-orang yang menjadi hitam wajahnya (dikatakan kepada mereka): ‘Mengapakah kamu kufur setelah kamu beriman? Maka rasailah azab disebabkan apa yang dahulu kamu ingkari.’" Ayat 107 "Dan adapun orang-orang yang wajahnya menjadi putih berseri, maka mereka berada dalam rahmat Allah; mereka kekal di dalamnya."

    Mereka yang telah memecah-belahkan, dan melalui amalan yang memecah-belahkan telah menghancurkan ummat, maka pada hari kiamat mereka akan bangkit dari kubur dengan muka yang hitam; mereka akan diberitahu bahawa kamu telah mengambil cara orang-orang kafir selepas juga kamu telah dikurniakan dengan Iman dan Islam. Jadi, rasailah kamu di sini azab neraka seperti mana telah kamu mengufurkan. Dan mereka yang telah ikut jalan yang betul maka muka mereka akan bercahaya dan berseri-seri dan untuk selama-lamanya mereka akan berada di dalam rahmat Allah dan syurga.] Saudara-saudaraku, dan teman-temanku sekalian! Kesemua ayat-ayat ini telah diturunkan pada masa orang-orang Yahudi telah mencuba untuk memecah-belahkan orang-orang Ansar dan menjadikan dua khabilah Ansar mengadap satu sama lain sebagai musuh. Di dalam ayat-ayat tersebut, perpecahan dan pergaduhan dan berperang antara satu sama lain di kalangan ummat telah disifatkan sebagai kufur dan telah diberi ancaman untuk azab di akhirat. Hari ini di seluruh dunia berjalanlah usaha untuk memecah-belahkan perasaan satu ummat. Penyelesaian dan perkara yang boleh menafikannya ialah hendaklah kamu menyibukkan dirimu sendiri dalam usaha Baginda s.a.w. Hendaklah kamu mendatangkan orang-orang Islam ke dalam masjid. Hidupkanlah perbincangan tentang Iman. Dirikanlah halqah taalim dan zikir. Bermesyuaratlah kamu mengenai usaha agama. Pelbagai kaum dan keturunan dan manusia dari berbagai-bagai daerah dan yang bercakap berbagai-bagai bahasa telah bersatu padu di dalam amalan-amalan ini di Masjid Nabawi. Perasaan perpaduan ummat akan hidup apabila kamu akan mengelakkan diri daripada perkara-perkara yang memberi peluang kepada syaitan untuk memecah-belahkan kamu. Apabila tiga orang duduk bersama maka harus kamu ingat bahawa yang keempat bersama kami adalah Allah. Bila ada empat orang atau lima orang duduk bersama maka selalu hendaklah kamu ingat bahawa Allah bersama kami sebagai yang kelima atau yang keenam; Dia mendengar setiap perkataan kami dan Dia melihat samada kami berbincang atas perpaduan ummat atau pun untuk memecah- belahkan ummat. Adakah kita sedang mengumpat atau menghasut; atau buat perancangan jahat untuk orang lain? Ummat ini telah dibentuk dengan tumpahan darah Rasulullah s.a.w. dan kelaparan beliau; sementara kita hari ini memecah-belahkan ummat atas perkara-perkara kita yang kecil. Ingatlah bahawa kerana meninggalkan solah jumaat pun tidak akan datang begitu banyak keburukan yang disebabkan memecah-belahkan ummat. Apabila akan datang perasaan perpaduan ummat di kalangan ummat, maka orang-orang Islam tidak sekali-kali akan dihinakan di dunia. Kekuatan Russia dan Amerika juga akan menunduk di hadapan mereka. Dan perasaan ummat akan datang hanya apabila diamalkan atas ayat, أَذِلَّةٌ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ yakni setiap orang Islam di sisi orang Islam yang lain akan mengecilkan dan menghinakan diri dan akan berkelakuan lemah lembut terhadapnya. Di dalam Tabligh harus kita melatihkan diri untuk perkara ini. Apabila akan datang sifat, di kalangan orang-orang Islam, maka di dunia ia akan menjadi, أَعِزَّةٌ عَلَى الْكُفِرِينَ . yakni ia akan dimuliakan berbanding dengan kafir; ia akan dikurniakan dengan kehebatan dan kemenangan atas kafir, samada kafir itu kafir Eropah atau pun kafir Asia. Saudara-saudara dan teman-temanku sekalian! Allah dan Rasul telah melarang dengan keras sekali akan perbuatan-perbuatan yang menyakiti hati dan yang mana ada bahaya untuk timbul perpecahan di kalangan ummat. Jika berdua-dua atau berempat-empat orang berasingan berbincang secara bisik-bisikan maka syaitan mendapat kesempatan untuk menimbulkan buruk sangka di dalam hati orang lain. Jadi, perkara ini telah dilarang dan telah disifatkan sebagai kerja syaitan.
    ﴿ إِنَّمَا النَّجْوَىٰ مِنَ الشَّيْطَانِ لِيَحْزُنَ الَّذِينَ آمَنُوا وَلَيْسَ بِضَارِّهِمْ شَيْئًا إِلَّا بِإِذْنِ اللَّهِ ۚ وَعَلَى اللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ﴾ [الْمُجَادِلَةِ: 10]

    Sesungguhnya bisik-bisikan (yang buruk) itu adalah daripada syaitan untuk menjadikan orang-orang yang beriman berdukacita; sedangkan ia tidak akan dapat membahayakan mereka sedikit pun, kecuali dengan izin Allah. Dan kepada Allah hendaklah orang-orang beriman bertawakal."

    Begitu juga telah dilarang merendahkan, melawak dan melucu sama orang.
    ﴿ ....يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا يَسْخَرْ قَوْمٌ مِّن قَوْمٍ عَسَىٰ أَن يَكُونُوا خَيْرًا مِّنْهُمْ.....﴾ [الْحُجُرَاتِ: 11]

    Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu kaum memperolok-olokkan kaum yang lain; boleh jadi mereka (yang diperolok) lebih baik daripada mereka (yang memperolok)..."

    Telah dilarang juga untuk mengetahui akan keburukan orang secara mengintip sementara keburukan itu belum diketahui lagi. Dan keburukan orang yang sudah diketahui juga dilarang untuk membincangkan dengan orang-orang lain. Mengumpat telah diharamkan. Mengumpat adalah, selepas mengetahui sebarang keburukan yang betul-betul ada pada seseorang, membincangkannya dengan orang-orang lain.
    ﴿ ....يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَبْ بَعْضُكُمْ بَعْضًا ۚ...﴾ [الْحُجُرَاتِ: 12]

    Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan prasangka, kerana sebahagian prasangka itu dosa. Janganlah kamu mengintip (urusan orang lain) dan janganlah sebahagian kamu menggunjing sebahagian yang lain...."

    Menghinakan, memperkecilkan orang, melawaknya, mengintip dan mengumpat -- kesemua ini adalah perkara yang memecah-belahkan ummat dan memusnahkan perasaan perpaduan ummat--jadi, kesemua ini telah diharamkan. Ikram dan muliakan antara satu sama lain yang mana ummat mendapat perasaan perpaduan telah diarahkan dan digalakkan. Juga telah dilarang meminta atau menuntut ikram kepada diri sendiri oleh orang lain, sebab, dengannya ummat tidak dibentuk bahkan dipecah-belah. Ummat akan menjadi satu padu hanya apabila setiap seorang akan percaya bahawa dirinya sendiri tidak layak untuk dihormati, dan dia akan membuat keputusan, 'saya tidak akan menerima kehormatan daripada orang lain bahkan akan menghormati orang-orang lain; kesemua orang lain adalah lebih layak untuk dihormati dan dimuliakan olehku. Sekiranya diri sendiri, nafsu sendiri akan dikorbankan maka barulah ummat akan dibentuk dan bersatu padu. Apabila ummat akan dibentuk maka kehormatan dan kemuliaan akan diperolehi; kehormatan dan kemuliaan tidak terletak di dalam peraturan Russia atau Amerika, bahkan ianya ada di tangan Allah. Di sisi Allah ada usul dan kelaziman. Sesiapa atau kaum atau golongan akan berpegang usul dan kelaziman yang bercahaya maka dia akan dimuliakan dan ditinggikan Allah. Dan sebaliknya sesiapa yang akan melakukan kelakuan yang membawa kebinasaan maka dia akan dihancurkan Allah. Orang-orang Yahudi adalah anak-anak Nabi; tetapi telah melanggar usul; maka Allah telah menghinakan dan memusnahkan mereka. Sahabat-sahabat radhiallahu anhum ajmain adalah anak-anak penyembah berhala; tetapi oleh kerana mereka telah berpegang dengan usul dan kelaziman yang bercahaya yang disukai Allah maka Allah Taala telah memuliakan dan meninggikan mereka. Allah tidak ada pertalian saudara mara dengan sesiapa; di sisiNya ada usul dan kelaziman. Kawan-kawan! Sibukkanlah dirimu sendiri di dalam usaha ini supaya perasaan ummat datang kembali di kalangan ummat Baginda Rasulullah s.a.w. supaya datang kembali di kalangan mereka akan kekuatan Iman dan yakin, supaya ummat ini menjadi ummat yang berzikir pada Allah dan bertasbih, supaya ia menjadi ummat yang tunduk kepada Allah, yang berkhidmat dan yang bersabar dan menahan susah payah untuk agama dan yang mengikram dan memuliakan orang lain; dan supaya ia JANGAN menjadi yang berbisik-bisik dan bersekongkol bagi orang lain, mengumpat, melawak, memperkecilkan orang lain menjahat dan mengintip. Sekiranya walau pun di satu tempat di mana-mana kawasan usaha ini berjalan dengan cara yang patut, maka perkara ini akan berkembang ke seluruh dunia. Kini berilah keutamaan kepada perkara ini: iaitu bentuk jemaah-jemaah terdiri daripada orang-orang daripada berbagai-bagai kaum, berbagai-bagai daerah dan golongan dan yang bercakap berbagai-bagai bahasa dan biar mereka menjaga usul. Maka Insyaa Allah, kerja untuk dibentuk ummat yang sebenar akan berjalan dan syaitan dan nafsu dengan kehendak Allah tidak boleh menghalang apa-apa. Selepas itu Hadraţi telah memberi penekanan yang khas untuk berusaha dan menghidupkan suasana di kampung-kampung dan menurut kebiasaan majlis telah menamat dengan doa.

    Ancaman Perpecahan Ummat

    ⚠️ Peringatan Keras: Perpecahan dan pergaduhan di kalangan ummat telah disifatkan sebagai kufur dan diberi ancaman azab di akhirat. Hari ini di seluruh dunia berjalanlah usaha untuk memecah-belahkan perasaan satu ummat.

    Masjid Banglawalee

    Masjid Banglawalee Markaz, Nizamuddin


    ADAB DAKWAH IJTIMA'I (BAYAN)